comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: 24 daripada 110 stesen pemancar komunikasi pulih

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sejumlah 24 daripada 110 stesen pemancar komunikasi yang terjejas akibat banjir di empat negeri telah pulih dan kembali beroperasi, setakat jam 10 pagi tadi.

Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, pihaknya sedang mencari penyelesaian untuk baki stesen pemancar komunikasi yang masih belum beroperasi.

Pejabat Negeri MCMC di empat negeri (Kelantan, Pahang, Selangor, Terengganu) sedang giat mencari penyelesaian bagi baki 86 stesen pemancar komunikasi yang belum beroperasi melalui kerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan, menurut kenyataan itu.

Justeru, MCMC meminta orang ramai untuk menghubungi talian MCMC jika terdapat sebarang masalah rangkaian di negeri terjejas banjir.

Bagi Pejabat MCMC Kelantan, mereka boleh menghubungi Yuzani Mohamad Yusoff di talian 09-7454828 atau menerusi e-mel [email protected]; manakala bagi Pejabat MCMC Pahang, mereka boleh menghubungi Mohd Razlan Rani di talian 09-5154825 atau melalui e-mel [email protected].

Sementara itu, mereka juga boleh menghubungi Muhammad Jaflus Baharudin di talian 03-86887403 atau e-mel [email protected] bagi Pejabat MCMC Selangor; atau menghubungi Ahmad Baihaqi Zinbahar untuk Pejabat MCMC Terengganu di talian 09-6288029 atau menerusi e-mel [email protected].
Pada masa sama, MCMC menzahirkan rasa simpati kepada mangsa yang terjejas banjir di empat negeri berkenaan dan memahami bahawa telekomunikasi adalah aspek penting bagi menghubungkan mangsa dengan ahli keluarga masing-masing.

MCMC juga bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir melibatkan negeri lain.

Orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu atau mengambil kesempatan dengan situasi banjir buruk yang melanda empat negeri ini.

Sebarang muat naik atau perkongsian perlu dipastikan kesahihannya.

Sama-sama kita memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam situasi sukar sebegini, menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini