Oleh: Fareez Azman
SABAK BERNAM: Sebanyak 32 Jambatan Bailey akan diatur gerak ke negeri-negeri terkesan banjir bagi menggantikan jambatan dan jalan raya yang terputus akibat bencana itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sehingga kini sebanyak tujuh lokasi telah dikenal pasti memerlukan pembinaan jambatan itu.
“Jambatan Bailey kita telah menyediakan dan sedang mengatur gerak 32 jambatan bailey untuk ditempatkan di jambatan atau jalan-jalan yang runtuh atau rosak teruk hingga menyebabkan jalan-jalan itu terputus.
“Setakat ini kita kenal pasti tujuh lokasi, lima daripada jambatan Bailey itu dalam stok NADMA. Manakala ATM dan JKR memegang stok selebihnya, kerjasama diantara JKR dan Kor Jurutera ATM sentiasa bersiap siaga.
“Sekarang (agensi terlibat) sedang melaksanakan pembinaan dengan melaksanakan ujian tanah di kawasan-kawasan itu kerana tanah agak lembut, beberapa tindakan kejuruteraan sedang dilakukan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dua projek pembinaan telah dimulakan iaitu di Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan ketika ini dengan tempoh pembinaan 72 jam.
Bagi Negeri Terengganu pula tambah Ahmad Zahid, pihaknya sedang meneliti situasi di negeri itu sama ada memerlukan pembinaan yang sama.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini hari ini.
Projek menaiktaraf Jalan Nipah sepanjang 1.2 kilometer, Jalan Tali Air 13 (3.7 km) dan Jalan Paket 100 (3.3 km) itu bermula pada 8 Disember 2022 dan siap pada 2 Oktober lalu dengan kos pembinaan RM15 juta, penjimatan RM400,000 daripada peruntukan asal RM18 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.