SABAK BERNAM: Sebanyak sembilan pusat pemindahan kekal sedang disediakan kerajaan di setiap negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia bagi mengelak daripada kerosakan pada sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum ini.
“Kita dapati PPS disediakan di sekolah di lokasi tinggi, namun sembilan pusat pemindahan kekal sedang disediakan sekurang kurangnya satu di setiap negeri bergantung kepada peruntukan.
“Kos untuk menyelenggara semula PPS di sekolah-sekolah ini terlalu tinggi, terutama apabila kelas diperbaiki semula banyak sekolah tiada dewan makan akan disantuni Kementerian Pendidikan dengan bantuan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.
Mengulas lanjut jelasnya, setakat ini sebanyak 8,200 PPS telah disiapkan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di negeri terjejas.
Dari sudut langkah memindahkan mangsa sekiranya berlaku banjir gelombang kedua, tambah Ahmad Zahid semua agensi telah bersiap sedia ketika ini.
Malah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) ujarnya, akan memberi amaran awal menerusi Sistem Amaran Awal Banjir di sesuatu kawasan sebelum luruan hujan meningkat sehingga menyebabkan banjir.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.