comscore
Tumpuan :
Bencana

Banjir Batu Pahat hampir pulih, hanya tinggal 967 di PPS

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Batu Pahat semakin berkurangan dengan jumlah terbaharu, seramai 967 orang daripada 269 keluarga di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di Batu Pahat, setakat jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah itu sedikit menurun berbanding 1,086 orang (299 keluarga) pada jam 8 malam tadi.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata dua PPS ditutup membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok Parit Yaani (sembilan orang) dan Dewan Orang Ramai Seri Medan (80 orang).

“Laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat di seluruh negeri Johor.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan semua lembangan sungai berada di bawah paras normal,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Azmi, semua jalan yang di Batu Pahat yang dibuka kepada kenderaan berat sebelum ini telah dibuka kepada semua kenderaan.

Katanya, dari segi proses pembersihan pasca banjir telah mula dilaksana di semua daerah terjejas banjir membabitkan 11,296 petugas membabitkan kakitangan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti seluruh negara.

“Kesemua petugas ditempatkan di 487 lokasi pembersihan.

“Ia membabitkan paling ramai petugas di Batu Pahat iaitu 5,269 di 149 lokasi, Segamat (2,647:164), Kota Tinggi (815:19), Mersing (676:59), Kluang (642:35), Muar (616:43), Tangkak (285:13), Johor Bahru (280:2) dan Pontian (66:3),”katanya.

Loading...
Terkini