JITRA: Cuti hampir 800 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dibekukan berikutan situasi banjir yang melanda negeri ini selain jangkaan fenomena air pasang besar dalam tempoh dua atau hari berikutnya.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, tindakan itu sebagai salah satu daripada langkah berjaga-jaga diambil pihaknya dalam mendepani apa sebarang situasi melanda negeri ini.
Dalam masa sama, katanya pemantauan sentiasa dilakukan terutamanya terhadap rumah yang terletak berhampiran sungai supaya mangsa yang terbabit dapat dipindahkan ke tempat selamat dengan segera.
“Kita sudah membekukan cuti semua pegawai dan anggota bermula hari ini, esok dan lusa selain daripada itu persiapan kita terarah pada balai bomba yang berdekatan dengan sungai yang besar utama di Kedah ini iaitu Sungai Bata dan Kota Setar.
“Kalau ada rumah-rumah yang berdekatan dengan sungai kita minta supaya lakukan persiapan awal kalau perlu berpindah, pindahlah sebelum berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan akan berlaku fenomena air pasang besar dalam tempoh sehari dua ini,” katanya pada sidang media ketika melakukan tinjauan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, di sini, hari ini.
Selain itu, Awang Hidzel berkata, MetMalaysia juga sudah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, berikutan itu pihaknya mengambil langkah bersedia dengan membekukan cuti semua pegawai dan anggota.
“Dalam pada itu, saya menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara hasrat untuk membawa keluarga bercuti atau berkelah di kawasan pantai mahu pun sungai buat masa ini.
“Ketika cuti persekolahan ini, mungkin ramai yang berhasrat untuk membawa keluarga bercuti ke pusat rekreasi air. Namun, mereka menasihatkan supaya langkah itu ditangguhkan seketika kerana kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.