Oleh: Selwam Arjunan
BALING: Tiga mangsa terperangkap atas pokok dalam usaha menyelamatkan diri daripada banjir kilat melanda Kampung Haji Abas, di sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun tindakan pantas anggota bomba dapat menyelamatkan semua mangsa, termasuk seorang wanita warga emas.
Komander Operasi Kanan Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 pagi berhubung banjir kilat di kawasan berkenaan.
Katanya, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan jentera bomba dengan aset lori dan bot segera ke lokasi untuk membantu mangsa.
Kira-kira jam 6.45 pagi, pasukan penyelamat dimaklumkan terdapat mangsa terperangkap atas pokok di kawasan berdekatan.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku banjir kilat di kawasan itu dan terdapat tiga mangsa yang berada di atas pokok.
“Mereka dipercayai berpaut pada pokok dalam usaha selamatkan diri dari dibawa arus banjir.
“Anggota bomba mengharungi aliran air yang deras menggunakan sistem tali.
“Kesemua mangsa telah diselamatkan dan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi tamat pada jam 8.10 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.