comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Johor hampir pulih

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor hampir pulih apabila jumlah mangsa banjir terus menunjukkan trend menurun dengan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata mangsa banjir di Johor kini berkurang kepada 456 orang membabitkan 124 keluarga setakat jam 8 malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di 13 PPS yang beroperasi setakat jam 12 tengah hari tadi ialah 1,124 orang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata semua mangsa banjir itu masih ditempatkan di tujuh PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas banjir di negeri ini selepas dua PPS ditutup.

“Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi, Kluang dan Mersing menunjukkan penurunan yang mana kini jumlah mangsa banjit di Kota Tinggi adalah seramai 124 orang membabitkan 27 keluarga di dua PPS.”

“Jumlah mangsa banjir di Mersing pula berkurang secara mendadak menjadi 136 orang daripada 43 keluarga yang ditempatkan di satu PPS yang masih beroperasi selepas dua PPS ditutup.”

Di Kluang pula tinggal 85 mangsa daripada 24 keluarga yang semuanya hanya ditempatkan di satu PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di Segamat pula, mangsa banjir kekal dengan 88 orang daripada 25 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat tidak berubah dengan 23 orang daripada lima keluarga yang berada di satu PPS.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir dan amaran hujan di mana-mana kawasan di Johor.

Sementara itu, dua lembangan sungai di negeri ini menunjukkan bacaan yang melepasi paras bahaya masing-masing di sub lembangan Sungai Muar di Segamat dan Sungai Kahang di Kluang.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Muar, Segamat di lembangan Buloh Kasap pula melepasi paras amaran.

Manakala, lembangan sungai yang melepasi paras waspada ialah Sungai Muar di Muar; Sungai Sembrong di Batu Pahat dan Sungai Johor di Kota Tinggi.

Semua daerah di Johor dilaporkan cerah, kecuali Johor Bahru, Mersing dan Kluang yang dilaporkan mendung pada jam 8 malam ini.

Loading...
Terkini