ALOR SETAR: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Baling malam tadi, apabila 134 mangsa daripada 62 keluarga di daerah itu dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air.
Berikutan itu, jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan kepada 1,374 mangsa daripada 458 keluarga di 14 PPS yang aktif di empat daerah di negeri ini setakat jam 8 pagi.
Jumlah itu meningkat berbanding 1,332 mangsa daripada 426 keluarga yang dilaporkan semalam di 10 PPS di tiga daerah iaitu Pokok Sena, Kubang Pasu dan Kota Setar.
Melalui laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, daerah Pokok Sena masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 698 mangsa daripada 222 keluarga di lima PPS di daerah itu.
Manakala Kota Setar mencatat jumlah mangsa seramai 416 mangsa daripada 130 keluarga dan Kubang Pasu pula mencatatkan seramai 126 mangsa daripada 44 keluarga.
Laman web Public Infobanjir pula melaporkan, empat sungai iaitu Sungai Padang Terap, Kepala Batas di Kubang Pasu, Sungai Ketil di Kuala Pegang daerah Baling dan dua sungai di daerah Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 7 pagi hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat hampir empat jam yang melanda daerah itu malam tadi menyebabkan beberapa kampung dinaiki air.
Beliau berkata, beberapa kampung lain iaitu Kampung bendang Man, Kampung Chepir, Kampung Jerai di Hulu Sungai Chepir serta Kampung Lubuk Tualang di Hulu Sungai Charuk Tebal turut dinaiki air.
Katanya, Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan penduduk kampung untuk menyelamatkan tiga sekeluarga di Kampung Charuk Tenang selepas rumah mereka dinaiki air hingga paras pinggang pada jam 10.17 malam.
“Semua mereka terperangkap dalam rumah dan bimbang paras air semakin naik disebabkan ketika itu masih hujan.
“Terdapat beberapa keluarga berpindah ke surau Kampung lalang dan tiga lagi keluarga di Balai Islam Tanjung Belit. Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa