comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Kedah makin memburuk, tujuh sungai melepasi tahap bahaya

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah makin memburuk apabila tujuh sungai di negeri itu menunjukkan menunjukkan peningkatan paras air dan sudah melepasi tahap bahaya setakat jam 8 pagi tadi.

Ekoran daripada itu, enam lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 3,441 mangsa daripada 978 keluarga sekaligus menjadikan 28 PPS yang beroperasi di Kedah setakat ini.

Antara sungai yang menunjukkan peningkatan paras air termasuk tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata (Kampung Bata) dan Sungai Laka (Kampung Padang Pasir).

Ia diikuti Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar, Sungai Perik di Kampung Perik di Padang Terap dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang masih melepasi tahap bahaya ketika ini.

Berdasarkan laman web Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah menunjukkan, mangsa banjir terus bertambah di daerah Kota Setar iaitu seramai 1,205 mangsa daripada 342 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Satu PPS di daerah Bandar Baharu yang baru dibuka semalam pula menempatkan seramai 113 mangsa daripada 25 keluarga berikutan paras air yang semakin meningkat.

Di Kubang Pasu pula, seramai 704 mangsa daripada 214 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS yang dibuka sejak Isnin lalu.

Selain itu, mangsa banjir di daerah Pendang pula menempatkan seramai 429 mangsa daripada 108 keluarga di tiga PPS manakala seramai 773 mangsa daripada 213 keluarga ditempatkan di tiga PPS daerah Pokok Sena.

Selain itu, daerah Kuala Muda pula menempatkan seramai 131 mangsa daripada 50 keluarga ditempatkan di tiga PPS dan daerah Kulim pula menempatkan seramai 86 mangsa daripada 26 keluarga.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan dari segi bekalan asas dan makanan untuk semua mangsa banjir di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan jumlah mangsa banjir akan bertambah berikutan masih ada mangsa yang dipindahkan ke PPS setakat ini.

Tiga sungai lagi iaitu Sungai Sedim di daerah Baling, Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar dan Sungai Gurun di Kampung Perupok di Yan sudah melepasi tahap amaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini