ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah masih belum pulih, malah bilangan mangsa semakin meningkat semula.
Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 8,017 orang daripada 2,594 keluarga ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.
Jumlah itu meningkat berbanding 7,961 mangsa daripada 2,577 keluarga di 37 PPS di lima daerah di negeri ini pada jam 11 malam tadi.
Berdasarkan laman web Info Bencana Jabatan Kebaikan Masyarakat (JKM), PPS di lima daerah yang masih aktif adalah di Kota Setar, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Bandar Baharu.
Daerah Kota Setar terus mencatatkan pertambahan mangsa banjir iaitu seramai 5,390 mangsa daripada 1,786 keluarga di 19 PPS berbanding 5,334 mangsa daripada 1,769 keluarga yang dilaporkan jam 11 malam tadi.
Selain itu, mangsa banjir di 10 PPS daerah Pendang masih kekal seramai 1,604 mangsa daripada 488 keluarga seperti yang dilaporkan malam tadi.
Dalam pada itu, daerah Kubang Pasu juga kekal kepada 671 mangsa daripada 217 keluarga seperti sebelum ini dan mangsa banjir di Pokok Sena juga tidak berubah dan mencatatkan seramai 233 mangsa daripada 77 keluarga setakat ini.
Daerah Bandar Baharu juga mencatatkan jumlah mangsa masih kekal iaitu 119 mangsa daripada 26 keluarga.
Sementara itu, laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, dua sungai di daerah Kota Setar terus mancatatkan bacaan melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat jam 7 pagi tadi.
Sungai terbabit ialah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman.
Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar pula masih melepasi paras amaran setakat ini manakala Sungai Bata di Kampung Bata di daerah Kubang Pasu sudah melepasi paras waspada.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.