comscore
Tumpuan :
Bencana

Banjir di Kuching, 160 mangsa dipindah ke PPS

Suliman Suntak dibantu menantunya memindahkan barangan di atas ‘meja khas’ selepas rumah mereka dinaiki air. – FOTO: NSTP

KUCHING: Seramai 160 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuching selepas kediaman mereka dilanda banjir, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, seramai 112 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sinar Budi Baru dan 48 mangsa dari 16 keluarga lagi ditempatkan di Dewan Stapok, di Batu Kawa.

“Mangsa di PPS Dewan Sinar Budi Baru adalah penduduk Kampung Sinar Budi Baru, Taman Desa Wira.

“Dewan Stapok pula menempatkan mangsa banjir di Lorong 5i, Taman Desa Wira yang terjejas banjir selepas hujan lebat pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, pemantauan terus dijalankan di semua kawasan dilanda banjir di bandar raya ini antaranya, Batu Kawa, Semariang, Matang, Kota Sentosa, Batu Tiga serta Tabuan.

“Sehingga jam 4.30 petang, paras air di kebanyakan kawasan dilaporkan mula menurun dan cuaca pula beransur baik pada sebelah petang,” katanya.

Banjir mula melanda kebanyakan kawasan di Kuching mulai jam 7 pagi selepas hujan lebat selama kira-kira dua jam.

Turut terjejas, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang yang dinaiki air sehingga menyukarkan aset digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

Selain itu, Hospital Umum Sarawak (HUS) turut dilaporkan dilanda banjir sehingga wad kecemasan dinaiki air.

Situasi itu memaksa pesakit yang dirawat di zon kuning dan merah di wad berkenaan dipindahkan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini