comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Madinah: Keselamatan jemaah haji Malaysia jadi keutamaan, ada pelan ‘B’

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi memberi jaminan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci akan terus menjadi keutamaan sekiranya berlaku sebarang bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan Arab Saudi turut menyatakan komitmen dan bersedia untuk menggerakkan pelan kecemasan jika musibah berlaku.

“(Lembaga) Tabung Haji (TH) dengan saya secara peribadi dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan al-Rabiah, kita sentiasa berhubung. Jaminan yang kita berikan, apa saja bentuk musibah dan sebagainya, kerajaan Arab Saudi akan sentiasa bersedia dengan pelan alternatif.

“Yang penting ialah keselamatan dan kebajikan jemaah haji di seluruh negara khususnya Malaysia. Kebajikan dan keselamatan mereka adalah keutamaan kepada TH dan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, bencana banjir kilat berlaku di bahagian utara Arab Saudi pada Selasa lalu menyebabkan penutupan sekolah dan jalan, manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) mengeluarkan amaran perjalanan.

Laporan Sky News dan media lain yang tular di media sosial pula menunjukkan banjir kilat yang bermula Isnin lalu melanda wilayah Al-Ula dan Madinah menyebabkan banyak kenderaan hampir tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na’im berkata, TH juga mempunyai pelan ‘B’ dan segala perancangan yang akan dilaksanakan dibincang bersama kerajaan Arab Saudi.

“Kita akan dapat maklumat dari Kerajaan Arab Saudi dan kita pun ada Konsul Haji di Arab Saudi. Saya diberikan taklimat itu setiap hari tentang perkembangan yang berlaku di sana.

“Insya-Allah jaminan yang kita berikan adalah pastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji kita adalah keutamaan,” katanya.

Semalam, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman dilapor berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang bencana tidak diingini demi keselamatan jemaah haji Malaysia ketika musim haji tahun ini.

Jelas beliau, TH mempunyai program pengurusan bencana yang didokumenkan dan sentiasa dipraktikkan melalui simulasi.

Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima itu dengan penerbangan pertama dijadual pada 9 Mei manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini