Tumpuan :
Nasional

Banjir di Pahang pulih sepenuhnya, bilangan mangsa di Sabah meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Pahang sudah pulih sepenuhnya selepas satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai, Raub yang menempatkan 32 mangsa daripada 13 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub, kesemua penduduk Kampung Ulu Sungai, Batu Malim yang sebelum ini terjejas telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,054 mangsa daripada 355 keluarga, setakat jam 8 malam tadi.

Ia berbanding 862 mangsa daripada 282 keluarga, pagi tadi.

Dalam kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah memaklumkan, 993 mangsa daripada 338 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Pitas, manakala Paitan kekal 61 mangsa daripada 17 keluarga berlindung di tiga PPS.

“17 mangsa daripada enam keluarga yang sebelum ini ditempatkan di sebuah PPS di Kota Marudu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Tiada hujan turun malam ini di daerah Pitas dan Paitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Sungai Kabatasan dan Sungai Bengkoka di Pitas telah melebihi paras bahaya jam 1 tengah hari tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini