comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Penampang: Ewon hulur bantuan segera RM20,000

Sekitar banjir yang melanda Penampang, malam tadi. – FOTO: NSTP

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick malam tadi menyalurkan bantuan segera RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di Penampang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata sumbangan yang diserah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) itu bagi membiayai operasi menyelamat mangsa banjir dan keperluan lain di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang di sini.

Beliau berkata situasi banjir yang berlaku di daerah ini berikutan hujan lebat berterusan sejak 1.30 tengah hari semalam telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain memantau situasi kawasan banjir dengan kenderaan pacuan empat roda, Ewon meluangkan masa melawat pusat kawalan bencana dan PPS itu bersama Pegawai Daerah Penampang Francis Chong merangkap Pengerusi JPBD Penampang.

“Beberapa jalan utama Penampang tidak dapat dilalui. Bekalan elektrik terputus di beberapa kampung dan kawasan perumahan. Tanah runtuh juga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui.

Pertembungan air laut pasang dengan air sungai juga antara sebab limpahan air besar banjir ini.

“Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir. Bagaimanapun, operasi ini juga terkesan akibat arus yang kuat. Bersama kita doakan semuanya selamat dan dipermudahkan,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini