
ARAU: Seramai 18 orang daripada empat sekeluarga menjadi mangsa pertama banjir di Perlis yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Perlis berkata, PPS berkenaan mula dibuka kira-kira jam 5 petang menempatkan penduduk keluarga dari Kampung Titi Besi, Arau.
“Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka mula dinaiki air selepas air di Sungai Arau yang terletak berhampiran mula melimpah melepasi tebing,” katanya.
Katanya, setakat ini hanya satu sahaja PPS dibuka di negeri ini dan sekiranya cuaca buruk berterusan, mungkin terdapat keperluan untuk membuka PPS di beberapa tempat lagi.