
KOTA KINABALU: Hanya tinggal 675 mangsa membabitkan 181 keluarga di dua daerah di Sabah masih berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataanya menyatakan statistik berkenaan menunjukkan penurunan ketara berbanding 1,651 orang mangsa banjir membabitkan 537 keluarga, pagi tadi.
“Hanya daerah Lahad Datu dan Tongod yang kekal merekodkan mangsa banjir.
“Bagaimanapun Lahad Datu kekal mencatatkan 520 mangsa daripada 140 keluarga.
“Semua penduduk terjejas banjir di daerah terbabit ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Dewan AVTC Segama (146 mangsa, 40 keluarga) dan PPS Dewan Kolej Vokasional Lahad Datu (374 mangsa, 100 keluarga).
“Manakala daerah Tongod juga tidak menunjukkan sebarang pertambahan mangsa banjir petang ini iaitu 155 mangsa daripada 41 keluarga.
“Seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kenang-Kenangan manakala selebihnya iaitu 63 mangsa melibatkan 17 keluarga masih di tempatkan di PPS SK Keramuk,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.