Tumpuan :
Nasional

Banjir di Sarawak kian pulih, 32 PPS ditutup

Petugas meletakkan notis penutupan PPS Dewan Entingan di Samarahan, petang semalam. FOTO: Ihsan JBPM

KUCHING: Banjir di Sarawak semakin pulih dengan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah ditutup semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, banjir di lima daerah yang diisytihar sudah pulih itu membabitkan Kuching, Bau, Asajaya, Saratok dan Kapit.

Berikutan itu, jumlah PPS mangsa banjir yang aktif sehingga jam 8 pagi ini kini berjumlah 46 dengan mangsa yang masih berlindung seramai 10,068 daripada 2,963 keluarga.

Daripada 46 PPS yang masih aktif, Miri mencatat jumlah tertinggi iaitu 13, Serian (9), Bintulu (8), Sibu (6), Samarahan (6) dan Mukah (4).

Bintulu pula mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 4,901, Serian (1,744), Miri (1,391), Sibu (1,147), Samarahan (743) dan Mukah (142).

Banjir luar biasa melanda Sarawak bermula 29 Januari lalu sehingga jumlah yang terpaksa berlindung di 63 PPS mencecah lebih 13,000.

Sementara itu, tiga PPS turut dibuka iaitu dua menempatkan 170 mangsa tanah runtuh di Miri dan satu lagi menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini