KUALA LUMPUR: Banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa terus menurun, manakala bencana sama di Machang, Kelantan pula sudah pulih sepenuhnya, hari ini.
Di Terengganu, bilangan mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 523 orang, setakat jam 2 petang berbanding 651 pada pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, kesemua mangsa banjir daripada 146 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS di Hulu Terengganu dan Besut.
Daripada jumlah itu, 285 mangsa banjir (83 keluarga) berpindah ke tujuh PPS di Hulu Terengganu, manakala baki 238 orang (63 keluarga) berada di lima PPS di Besut.
Dalam pada itu, sebuah PPS di Kemaman yang menempatkan 11 mangsa banjir (satu keluarga) sebelum ini telah ditutup pada tengah hari tadi.
“Keadaan cuaca yang kembali cerah sejak pagi tadi menyebabkan banjir semakin surut dan paras air di beberapa sungai utama semakin menurun,” katanya.
Sementara itu di Kelantan, banjir di Machang pulih sepenuhnya apabila dua PPS ditutup selepas semua mangsa pulang ke rumah masing-masing, hari ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di Kelantan kini menurun kepada 739 orang (219 keluarga) yang berlindung di 13 PPS, berbanding 882 pada pagi tadi.
Tiga daerah yang masih ditenggelami banjir ialah Tanah Merah dengan 650 mangsa (197 keluarga) ditempatkan di 11 PPS; Kuala Krai dengan 78 orang (19 keluarga) di sebuah PPS; dan Pasir Mas dengan 11 mangsa (tiga keluarga) di sebuah PPS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.