KUALA TERENGGANU: Banjir di negeri ini pulih sepenuhnya selepas semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang malam tadi.
Dua PPS terakhir yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Terbuka Kampung Belaoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Besut ditutup pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS Dewan Terbuka Kampung Belaoh yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga dan PPS SK Kampung La (sembilan keluarga membabitkan 32 mangsa) ditutup jam 9 pagi tadi.
Banjir gelombang ketiga membabitkan beberapa kampung yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai di tiga daerah, Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman dengan bilangan tertinggi keseluruhan mangsa yang dipindahkan adalah seramai 673 orang daripada 182 keluarga.
Secara keseluruhan sebanyak 18 PPS dibuka sepanjang tempoh tiga hari daerah terbabit dilanda banjir. Ia membabitkan 12 di Hulu Terengganu, Besut (lima) dan satu di Kemaman.
Banjir berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak Ahad lalu menyebabkan beberapa kampung berhampiran sungai dan yang berada di kawasan rendah dinaiki air.
Hulu Terengganu paling tinggi merekodkan mangsa yang dipindahkan iaitu 424 mangsa daripada 114 keluarga diikuti Besut (238 mangsa, 63 keluarga) dan Kemaman, satu keluarga membabitkan 11 mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.