Tumpuan :
Nasional

Banjir: JBPM beku cuti pegawai, anggota bomba Sarawak

Keadaan banjir di Bintulu, Sarawak hari ini. – FOTO: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) membeku cuti bagi semua pegawai dan anggotanya di Sarawak susulan kejadian banjir yang semakin memburuk khususnya di daerah Bintulu.

Ia juga susulan amaran kategori merah hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia di beberapa buah daerah di Sarawak, hari ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata beberapa pasukan di daerah lain di negeri itu juga sudah digerakkan ke Bintulu untuk memperkasa bantuan dan kerja-kerja menyelamat.

“Kita sudah membekukan cuti dan pasukan bantuan ke lokasi yang terjejas teruk khususnya di Bintulu. Kerja-kerja menyusun gerak sudah dilakukan setakat ini.

Keadaan banjir di Bintulu, Sarawak hari ini. – FOTO: Ihsan JBPM

“Pasukan bantuan dari Miri dan Sibu juga sudah mula digerakkan ke Bintulu,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Media pagi tadi melaporkan, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini meningkat kepada 15 dengan 14 daripadanya menempatkan mangsa banjir yang keseluruhannya kini seramai 1,097 orang.

Dua lagi PPS yang masih aktif masing-masing menempatkan mangsa tanah runtuh dan kebakaran rumah panjang.

Daripada 14 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan lapan PPS, Bintulu (2), Kuching (2), Samarahan (1) dan Miri (1).

Lapan PPS di Serian ialah Dewan Masyarakat Balu Gambang Tebakang Bidayuh yang menempatkan 11 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tebakang (33), Dewan Slabi Entukuh (35), Balai Raya Betong Kanowit (25), SK Pangkalan Sorak (60), Dewan Kampung Lintang Baru (166), Dewan Masyarakat Serian (16) dan SK Tanah Merah (163).

Di Kuching, dua PPS ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Batu Kawa (145) dan Dewan Pangkalan Bau (17); di Samarahan pula Dewan Mesra Simunjan, manakala di Miri, PPS dibuka di Pusat Bulan Sabit Merah (6).

PPS Dewan Datuk Aaron di Kanowit pula menempatkan seramai 71 mangsa kebakaran rumah panjang, manakala PPS Pusat Bulan Sabit Merah di Miri pula menempatkan 133 mangsa tanah runtuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini