comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Johor: Batu Pahat daerah terbaharu dilanda banjir

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Batu Pahat menjadi daerah terbaharu di negeri ini yang dilanda banjir selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka jam 11 pagi tadi.

Setakat jam 6 petang, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS Balairaya Parit Suratman dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuari itu seramai 58 orang daripada 18 keluarga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sekretariat jawatankuasa Pusat Kawalan Banjir Johor, jumlah mangsa di negeri ini menunjukkan peningkatan kepada 8,231 orang daripada 2,268 keluarga berbanding 8,221 orang membabitkan 2,275 keluarga pada pagi tadi.

Kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 55 PPS.

“Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa meningkat daripada 4,730 orang daripada 1,298 keluarga kepada 4,739 orang daripada 1,290 keluarga yang berada di 26 PPS di daerah itu.

“Turut mencatatkan peningkatan daerah Johor Bahru yang kini mencatatkan seramai 1,977 orang daripada 536 keluarga berbanding 1,976 orang daripada 535 keluarga pagi tadi yang ditempatkan di 12 PPS yang beroperasi,” katanya.

Di Kluang pula, jumlah mangsa banjir seramai 1,164 mangsa daripada 342 keluarga ditempatkan di lapan PPS.

Segamat kekal dengan 107 mangsa daripada 29 keluarga di empat PPS, manakala Kulai seramai 90 orang daripada 24 keluarga di sebuah PPS.

Manakala Pontian dengan 22 orang daripada lima keluarga berada di sebuah PPS.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor memaklumkan, enam jalan di sekitar Kota Tinggi serta satu jalan di Mersing terjejas banjir masih ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Loading...
Terkini