comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Johor: Hanya 78 mangsa di 3 PPS

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Kota Tinggi hampir pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang beroperasi di daerah itu ditutup sepenuhnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata seramai empat mangsa daripada dua keluarga yang tinggal di PPS berkenaan dibenarkan pulang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dengan dua sahaja daerah yang masih terjejas dengan banjir, situasi banjir di Johor dilihat hampir pulih.

“Mangsa banjir di Johor kini hanya tinggal 78 orang daripada 20 keluarga pagi jam 8 pagi ini dengan tiga sahaja PPS yang masih beroperasi.

“Mangsa banjir berkenaan berada di Segamat dan Batu Pahat yang mana jumlah mangsa banjir di dua daerah itu tidak berubah sejak malam tadi.

“Di Segamat, mangsa banjir kekal dengan 63 orang daripada 17 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat tidak berubah dengan 15 orang daripada tiga keluarga yang berada di satu PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan kini hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja.

Dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Sementara itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjelaskan lembangan Sungai Muar di Segamat dan Sungai Jemaluang di Mersing melepasi paras amaran.

Hanya Mersing dilaporkan hujan pagi ini, manakala Johor Bahru, Pontian dan Kulai dilaporkan cerah dan enam daerah lain dilaporkan mendung.

Loading...
Terkini