Tumpuan :
Nasional

Banjir: Jumlah mangsa meningkat di Raub tengah hari tadi

FOTO: APM Raub

RAUB: Seorang Orang Kurang Upaya lelaki berusia 75 tahun dan warga emas wanita berusia 70 tahun berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing yang dilanda banjir dan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka awal pagi tadi, kira-kira jam 4.30 pagi dan 6.30 pagi, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub melaporkan, sejurus menerima makluman, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub telah memindahkan mangsa berkenaan ke PPS.

“Mangsa OKU yang kudung kakinya dari Kampung Ulu Gali dihantar ke PPS Kemas Ulu Gali pada jam 1.00 tengah hari.

“Manakala mangsa warga emas yang tinggal di kampung sama dipindahkan ke PPS yang sama pada jam 1.45 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, laporan yang dikeluarkan oleh JPBD Raub pada jam 3.00 petang PPS Dewan Orang Ramai Tok Machang terdapat sebanyak 26 keluarga dan 95 mangsa meningkat daripada 23 keluarga dan 89 mangsa.

PPS Dewan Orang Ramai Ulu Gali pula turut menunjukkkan peningkatan daripada dua keluarga dan 10 mangsa kepada lapan keluarga dan 26 mangsa.

PPS Kemas Ulu Gali Tengah yang turut dibuka untuk menunjukkan peningkatan dengan menempatkan 11 keluarga dan 33 mangsa daripada lapan keluarga, 26 mangsa daripada laporan pada jam 12.00 tengah hari.

Jumlah keseluruhan 45 keluarga dan 153 mangsa dilaporkan. Anggota APM Raub terus membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS sejak awal pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini