Tumpuan :
Nasional

Banjir kali ini terburuk dalam sejarah – KP Kelantan

Foto: NSTP

RANTAU PANJANG: Polis Kelantan menyifatkan banjir yang melanda ketika ini adalah yang terburuk dalam sejarah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berdasarkan lebih 90,000 mangsa sudah dipindahkan ke 288 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang.

“Saya kira ini banjir yang terburuk. Ini baru pusingan pertama keadaan sudah sebegini dan banyak laluan terputus.

“Daerah yang paling terkesan adalah Pasir Mas dan Tumpat. Malah, laluan ke Pengkalan Kubor juga terputus terus untuk semua kenderaan.

“Walaupun hujan lebat sudah berhenti, namun jumlah mangsa banjir terus bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat kawasan banjir di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, polis Kelantan tetap bersedia untuk berdepan dengan banjir lebih buruk selepas beberapa kawasan di bandar Kota Bharu juga dinaiki air.

Sehingga jam 6 petang ini, seramai 91,865 mangsa banjir dipindahkan dengan sembilan sungai di Kelantan masih melepasi paras bahaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini