KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir bertambah kepada 142,506 orang daripada 42,835 keluarga yang ditempatkan di 703 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5.30 petang ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.
Lima negeri menunjukkan peningkatan mangsa dengan Kelantan paling tinggi iaitu 91,850 orang daripada 28,497 keluarga yang ditempatkan di 287 PPS.
Di Terengganu, banjir melanda lapan daerah membabitkan 41,201 mangsa daripada 11,479 keluarga di 329 PPS.
Di Kedah turun menunjukkan peningkatan mangsa iaitu seramai 6,789 mangsa di tujuh daerah di Kedah.
Keadaan banjir di Johor pula mencatatkan seramai 440 orang membabitkan 135 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS di dua daerah, begitu juga di Melaka, sebanyak enam PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 263 mangsa daripada 66 keluarga di tiga daerah.
Sementara di tiga negeri menunjukkan penurunan mangsa banjir iaitu di Perlis seramai 305 mangsa daripada 95 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di dua daerah terjejas banjir.
Selain itu, Selangor merekodkan 229 mangsa berbanding 302 mangsa tengah hari tadi yang diberi perlindungan di satu PPS membabitkan satu daerah di negeri berkenaan.
Manakala di Negeri Sembilan pula, tiga PPS telah ditutup dan kini hanya tinggal 14 PPS di tiga daerah yang dibuka bagi memberi perlindungan kepada 2,009 mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.