Tumpuan :
Nasional

Banjir: Kerajaan sediakan 8,200 PPS dengan kapasiti 2.1 juta mangsa – Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar, hari ini.

SABAK BERNAM: Kerajaan telah menyiapkan sebanyak 8,200 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara bagi menghadapi gelombang pertama dan kedua banjir Monsun Timur Laut (MTL).

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, persiapan itu telah dilakukan lebih awal sebelum banjir gelombang pertama melanda beberapa negeri di pantai timur dan utara tanah air.

“Sebanyak lebih 8,200 pps disediakan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menyediakan penempatan PPS (mencukupi), tetapi kita doakan tidak berlakulah banjir lebih teruk seperti tahun 2014.

“Tapi kami siap siaga PPS boleh ditempati 2.1 juta orang,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid, jumlah akumulatif mangsa banjir setakat ini seramai 220,000 mangsa yang terjejas.

Daripada jumlah itu lebih 153,000 mangsa ditempatkan ke PPS di daerah yang terjejas.

“Kita boleh berdoa pada waktu sama kita harus ikthiar mengelak sebarang kemalangan sesuatu tidak dingini berlaku.

“Jabatan Meteorologi Malyasia (MetMalaysia) kita mempunyai SOP supaya berpindah lebih awal daripada waktu luruan hujan bertambah,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini