Oleh: Selwam Arjunan
GEORGETOWN: Banjir kilat dan ribut melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang susulan hujan lebat pagi tadi.
Banjir kilat dilaporkan di beberapa kawasan, di sini, termasuk sekitar bangunan KOMTAR, Jalan Perak dan Jalan Datuk Keramat menyebabkan jalan raya digenangi air.
Bagaimanapun tiada laluan dilaporkan ditutup setakat ini dan kenderaan dapat melalui kawasan berkenaan.
Sementara itu, daerah Seberang Perai Utara pula dilanda ribut petir menyebabkan pokok tumbang dan kerosakan rumah.
Laporan awal menyatakan lebih kurang 15 pokok tumbang di laluan Lubuk Meriam-Nyior Sebatang di Sungai Dua menyebabkan sebahagian laluan terhalang.
Manakala bumbung beberapa rumah tercabut akibat ribut di kawasan Kampung Paya dan Pekan Darat di Kepala Batas.
Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan notis amaran ribut petir seluruh negeri Pulau Pinang dari jam 10.25 pagi hingga jam 2 petang ini.