comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir kilat di Kunak, 26 penduduk dipindahkan

FOTO: NSTP

KUNAK: Seramai 26 penduduk daripada lima keluarga dari Kampung Airport, dekat sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), awal pagi tadi selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.20 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

FOTO: NSTP

“Sebaik tiba, didapati lima buah rumah sudah dinaiki air sebelum operasi memindahkan mangsa segera dilakukan menggunakan bot bomba dan bot agensi lain serta orang kampung.

“Terdapat 26 orang mangsa termasuk seorang lelaki dewasa orang kurang upaya (OKU) serta tujuh kanak-kanak dan seorang bayi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Kampung Airport Kunak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, semua mangsa terbabit selamat dipindahkan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi pemindahan tamat pada jam 6.55 pagi.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kunak memaklumkan hujan lebat berterusan di hulu Sungai Kalumpang pada awal pagi menyebabkan air sungai melimpah dan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan berdekatan.

Beberapa anggota JBPD telah ditugaskan untuk memantau keadaan bersama aset yang siapsaga untuk digerakkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini