KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Insiden Awam Kuala Lumpur ditubuhkan bagi menangani dan memberi bantuan segera iaitu kurang setengah jam melibatkan insiden banjir kilat di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata jawatankusa itu akan mengaktifkan bantuan bagi tempoh kurang setengah jam ‘response time’ daripada waktu menerima amaran awal banjir jalan atau banjir kilat di Kuala Lumpur.
“Jawatankuasa terbabit dibantu agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur.
“Seramai 490 petugas dalaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan siap siaga di lapangan dengan dibantu petugas pasukan pemantauan secara visual melalui lebih 60 unit kamera litar tertutup (CCTV) di bilik gerakan, khususnya di kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti termasuk memantau kawasan sungai, parit dan kolam takungan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang meminta menyatakan langkah diambil DBKL untuk mencegah dan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mulai esok satu langkah proaktif akan dilaksanakan iaitu semua ‘variable message system’ (VMS) atau papan iklan LED di bawah seliaan DBKL akan memaparkan status semasa cuaca dan amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat.
“Kita mendapat kerjasama daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan JPS. Ini kita akan mulakan dengan papan iklan LED di Menara DBKL terlebih dahulu. Jadi, rakyat atau penduduk di Kuala Lumpur boleh mengambil langkah awal jika kita memberi amaran,” katanya.
Sebagai inisiatif persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, Zaliha berkata, DBKL sudah menganjurkan program latihan seperti pengendalian bot bersama agensi di Wilayah Persekutuan.
“Program yang berlangsung pada 20 Ogos lalu membabitkan lima agensi lain di bawah pentadbiran Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Lumpur iaitu PDRM, ATM, APM, BOMBA, dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sendiri.
“Jadi program ini bertujuan memastikan bot penyelamat berada dalam keadaan baik dan menguji kemampuan prestasi.
“DBKL juga menghadiri lawatan ke Projek Lembangan Sungai Kelang (PLSK) yang dianjurkan oleh JPS Kuala Lumpur sebagai langkah proaktif kita dalam usaha menangani Monsun Timur Laut dan juga sebahagian persediaan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah bagi menyambut Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.