comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir kilat: JPS keluar notis kesiapsiagaan di tujuh negeri

 

PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam membabitkan 7 negeri iaitu Johor, Selangor, Pahang, Melaka, Sarawak, Sabah dan Negeri Sembilan.

Ia dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) jabatan itu pada jam 4 petang hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, JPS berkata, berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.

FOTO: JBPM

Menurutnya, di Johor lokasi ‘hotspot’ yang berisiko banjir kilat membabitkan 9 daerah iaitu Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Johor Bahru.

Diikuti Selangor, 5 daerah iaitu Klang, Petaling, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sepang.

Di Pahang pula melibatkan daerah Bera, Kuantan dan Temerloh manakala di Melaka membabitkan daerah Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

Sementara itu di Sarawak, lokasi berisiko banjir kilat ialah Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Miri dan Bintulu.

Di Sabah, membabitkan daerah Kudat dan Pitas dan bagi Negeri Sembilan hanya melibatkan daerah Port Dickson.

Notis kesiapsiagaan itu, dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu.

Loading...
Terkini