YAN: Limpahan air deras dari pergunungan di kawasan air terjun Seri Perigi dan Titi Hayun, di sini, menyebabkan beberapa sungai melimpah sehingga menyebabkan banjir kilat.
Difahamkan, kejadian itu berpunca hujan lebat lebih sejam dengan sekurang-kurangnya empat kampung terkesan akibat banjir kilat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata tiga kampung yang terkesan itu adalah Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Raga, Kampung Ruat dan Kampung Titi Bakong.
“Ketika ini, pemantauan dilakukan anggota BBP Yan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Bomba Komuniti di kawasan terjejas.
“Kami menasihatkan penduduk sentiasa berwaspada untuk sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi BH.
Dalam pada itu, Norhamidi menasihatkan pengunjung mengelak berkunjung ke kawasan peranginan itu ketika ini, selain berhati-hati serta waspada dengan perubahan air di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.