SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melaporkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning di sini, petang tadi.
Kejadian banjir kilat yang turut tular di media sosial itu susulan hujan lebat berterusan sekitar jam 2 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebaik tiba di lokasi di Kota Kemuning, pihaknya mendapati banjir kilat sedalam dua kaki.
“Setakat ini keadaan terkawal dan tiada pemindahan yang dilakukan dan air sudah surut ketika ini.
“Anggota membuat kerja-kerja pemantauan di sekitar kawasan banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar keadaan limpahan air di jalan-jalan utama sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kemuning.
Menerusi Facebook rasmi Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga, rumah jagaan warga emas di bawah LZS iaitu Bait Al-Mawaddah di Jalan Kebun turut dilanda banjir kilat.
Jumaat lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini berterusan sehingga November depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.