comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir kilat, tetamu terpaksa makan dengan kaki berendam air paras lutut

JOHOR BAHRU: Hujan lebat lebih dua jam, menjejaskan kelancaran majlis perkahwinan di Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru di sini apabila perkampungan itu dilanda banjir kilat tengah hari tadi.

Menurut Pengerusi Komuniti Perpaduan dan Keselamatan Kampung Plentong Baru, Kamal Hashim banjir mengakibatkan sebahagian tetamu terpaksa menjamu selera dalam keadaan kaki berendam air.

“Dalam kejadian berkenaan, hampir 10 rumah daripada 600 rumah terjejas termasuk laluan yang dipasang khemah bagi majlis perkahwinan berkenaan.

“Air naik sehingga paras lutut dan kebetulan ketika itu jamuan majlis perkahwinan sedang berlangsung.

“Bagaimanapun kami bersyukur kerana dalam tempoh kira-kira dua jam, air mula surut dan semakin ramai tetamu yang hadir,” katanya.

Kamal Hashim berkata, masalah banjir kilat di kawasan berkenaan berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dipercayai berpunca daripada sistem saliran.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri mengambil tindakan sesuai bagi mengatasi permasalahan berkenaan.

“Tidak perlu menunggu musim banjir atau tengkujuh , jika hujan lebat sahaja dan taburan hujan yang banyak, pasti kawasan ini akan naik air.

“Diharap permasalahan ini diberi tumpuan dan diatasi demi keselesaan dan keselamatan penduduk,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini