Tumpuan :
Nasional

Banjir landa beberapa kawasan di Kuala Pilah, Tampin

FOTO: Ihsan APM Kuala Pilah

TAMPIN: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuala Pilah dan Tampin dilanda banjir dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 63 mangsa.

Seramai 19 penduduk daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok di Gemencheh, di sini, manakala 44 lagi membabitkan 10 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Dangi di Johol, Kuala Pilah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan, berkata PPS SK Gedok dibuka jam 12 tengah malam tadi menempatkan mangsa dari sekitar Kampung Tengah dan Gedok.

Selain itu, katanya, jalan Batang Melaka-Gemencheh-Tampin ditutup untuk semua kenderaan akibat paras air meningkat sehingga hampir satu meter setakat 9 malam tadi berikutan hujan lebat sejak petang semalam dan limpahan air sungai.

“Dua laluan di kawasan berkenaan ditutup kira-kira 7.30 malam tadi kerana berbahaya untuk dilalui kenderaan. Kita juga sedang memantau premis kedai dan kediaman yang terjejas susulan banjir ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna dinasihat menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua untuk ke destinasi masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, berkata misi bantuan banjir terus digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

“Lebih 50 individu dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh, termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok.

“Dianggarkan lebih 30 rumah sekitar DUN Gemencheh dan sebuah sekolah di Bukit Rokan terjejas banjir. Data tepat rumah yang terjejas belum diperoleh sepenuhnya,” katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim, berkata PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Dangi susulan banjir sekitar Johol, susulan hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang semalam sehingga mengakibatkan limpahan air sungai.

“Agensi penyelamat telah menjalankan satu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke PPS, malam tadi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini