comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir: Lembaga Peperiksaan akan laksana penjadualan semula kepada 431 calon SPM yang terkandas banjir

Oleh: Shuhadah Marzuki

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan, (KPM) melalui Lembaga Peperiksaan (LP) akan melaksanakan Penjadualan Semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) untuk calon yang terkandas akibat banjir.

KPM melalui satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat terperinci membabitkan 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran.

Semua calon peperiksaan SPM tahun 2022 turut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.

KPM turut cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.

Berikutan itu, pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.

Hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak terjejas.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalanraya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Loading...
Terkini