comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir: Paras air Ulu Sungai Tembeling mula naik

JERANTUT: Paras air di Ulu Sungai Tembeling mula melimpah ke beberapa perkampungan di Taman Negara.

Peningkatan paras air sungai utama lembangan Sungai Pahang yang terletak berhampiran sempadan Pahang-Terengganu itu berpunca dari hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Kira-kira jam 11.05 malam tadi, siren amaran awal Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di Kampung Bantal berbunyi selepas paras ulu Sungai Tembeling mencecah 105 meter.

Penduduk di kampung berkenaan sudah bersiap sedia memindahkan peralatan penting ke tempat selamat, kerana lazimnya kawasan itu akan dilanda banjir setiap kali tiba musim monsun timur laut.

Penduduk Kampung Bantal, Jamizam Rashid, berkata limpahan air sungai itu menyebabkan beberapa restoran, kedai runcit, wakaf tempat menunggu bot penambang ditenggelami banjir.

Seorang lagi penduduk, Japrun Ali, 64, berkata, air mula melimpah di kawasan pesisir sungai, pagi ini.

“Bagaimanapun kebanyakan kedai yang terletak di kawasan dataran pesisir Sungai Tembeling kampung itu sudah dipasang tong plastik agar barang dalam kedai terapung, selamat dan dan rumah kedai ditambat pada pokok besar,” katanya.

Sementara itu, Zaimi Abdullah, 50, berkata, fenomena banjir kali kedua tahun ini tidak mengejutkan mereka kerana dua minggu lalu air turut naik tetapi tidak lama.

“Kami tidak menolak banjir berulang semula memandangkan cuaca tidak menentu lebih lagi baharu sahaja berlaku angin monsun luruan dan hujan kerap turun sehingga ini.

“Cuma kami bimbang keselamatan penduduk yang menggunakan perahu sebagai alat perhubungan kerana arus Sungai Tembeling deras dan menghanyutkan kayu balak reput dan dahan pokok yang tumbang yang membahayakan penduduk tinggal di pesisir sungai itu,” katanya.

Sehingga jam 11 pagi tadi, laman web rasmi Public Infobanjir (JPS) mencatatkan, dua pusat penyukat banjir di Sungai Tembeling sudah melebihi paras amaran dan dalam trend menaik.

Paras bacaan di pusat penyukat banjir Sungai Tembeling di Kampung Merting ialah 58.41 meter, melebihi tahap bahaya 58 meter.

Bacaan di pusat penyukat banjir di Kuala Tahan ialah 66.08 meter, melebihi tahap amaran 66 meter.

Loading...
Terkini