Tumpuan :
Nasional

Banjir: Pengusaha bas ekspres, kereta api diminta pertimbang bayaran penuh tiket pengguna terjejas

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengusaha dan pengendali bas ekspres serta perkhidmatan kereta api diminta untuk mempertimbangkan beberapa pilihan kepada pengguna yang telah membeli tiket perjalanan ke destinasi terjejas banjir.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, itu antara usaha yang telah dilakukan oleh agensi-agensi di bawahnya bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir termasuk kakitangan dan juga orang awam.

“Bagi pengguna yang terlebih dahulu telah membeli tiket perjalanan, pihak syarikat hendaklah mempertimbangkan mana-mana kaedah secara opsyen yang dipilih oleh pelanggan sama ada pemulangan penuh harga tiket atau membenarkan pindaan tarikh perjalanan ke satu tarikh yang terkemudian,” katanya.

Menurut MOT, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut menyarankan semua pengusaha dan pengendali untuk sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan bagi memudahkan pengguna untuk mengatur perjalanan.

Bagi perkhidmatan bas berhenti-henti pula, pihak syarikat terlibat sewajarnya berusaha untuk menggunakan jalan alternatif dan laluan selamat agar perhubungan penduduk antara kawasan tidak terjejas.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh bencana.

Mengulas lanjut, MOT berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga menawarkan pemulangan tambang penuh kepada semua penumpang yang terkesan dalam tempoh tujuh hari.

Pemulangan tambang tersebut boleh dilakukan secara dalam talian dan di kaunter.

“Memahami keadaan semasa, tempoh permohonan pemulangan tambang dilanjutkan selama 30 hari,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini