SEGAMAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada 258 ketua isi rumah (KIR) terkesan banjir di Segamat di sini hari ini.
Sumbangan disampaikan menerusi Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, M Shanmugam di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Batu Badak.
Shanmugam ketika ditemui pemberita berkata bantuan dihulurkan Perdana Menteri bertujuan meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu.
“Kita bantu mereka yang memerlukan bantuan bukan hanya untuk mangsa banjir yang berlindung di situ, sebaliknya juga untuk diagihkan kepada mereka yang telah meninggalkan PPS. Ia tidak mengira agama atau bangsa selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
“Kita akan teruskan usaha begini di semua lokasi terkesan banjir dengan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya sambil menambah bantuan diberikan berupa kit makanan dan selimut.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Segamat (MPS) Mohd Helmi Datuk Sha’ri@Shangari dan Timbalan Ketua Polis Segamat Deputi Superintendan Ng Swie Chait.
Sumbangan pada hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan SKM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.