comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: SPM berjalan ikut jadual – Fadhlina

Fadhlina menghadiri Majlis Pelancaran Bantuan Banjir Wanita PKR ke Pantai Timur di Presint 10 di sini hari ini. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetap diteruskan mengikut jadual mulai Isnin ini meskipun Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persediaan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar ketika bencana telah dilaksanakan awal dengan kerjasama Lembaga Peperiksaan (LP) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Setakat ini tiada masalah, kita ada pengalaman uruskan calon SPM semasa banjir. Mungkin kalau susah sedikit macam isu terputus jalan, itu pun kita dapat bantuan daripada agensi kerajaan untuk bawa calon ke pusat peperiksaan,” katanya.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari.

Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diadakan pada 29 Januari dan peperiksaan bertulis bermula 30 Januari hingga 7 Mac, sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember lalu.

Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Sebelum ini, Kerajaan Johor memberi jaminan untuk memastikan calon SPM yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan itu.

Setakat jam 4 petang tadi, seramai 1,428 mangsa banjir masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Mersing dan Kluang.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR menyempurnakan gimik pelepasan konvoi Sumbangan Misi Bantuan Banjir ke Pantai Timur anjuran Wanita PKR Pusat, di sini hari ini.

Sebanyak enam kenderaan pacuan empat roda akan bertolak ke Kelantan, Pahang dan Terengganu esok bagi mengagihkan sumbangan berupa makanan serta pelbagai jenis barangan keperluan bernilai lebih RM300,000 yang dikumpul sejak 31 Disember lalu.

Mengulas lanjut, menurut Fadhlina, fasa kedua penyerahan sumbangan kepada mangsa termasuk barangan kelengkapan persekolahan dijangka minggu depan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini