Tumpuan :
Nasional

Banjir Terengganu: Jumlah mangsa menurun kepada 2,581

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin (tiga kiri) ketika meninjau pusat kawalan Operasi Bencana di kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong. Foto NSTP

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 2,581 orang membabitkan 645 keluarga di dua daerah.

Setakat jam 8 malam, kesemua mangsa berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing lima di Kemaman dan satu di Marang.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu pulih banjir selepas dua PPS yang dibuka sebelum ini ditutup secara berperingkat pada petang tadi.

Ia selepas 43 mangsa daripada lapan keluarga yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Jumlah mangsa banjir di Kemaman menunjukkan sedikit peningkatan apabila seramai 2,568 orang daripada 641 keluarga berada di lima PPS berbanding seramai 2,560 mangsa (639 keluarga) petang tadi.

Lima PPS yang masih aktif di Kemaman adalah Balai Raya Meraga Beris, Sekolah Kebangsaan Kemasik, Dewan Abd Rahman Limbong, DITC Teluk Kalong, Balai Raya Beris Nenas dan Balai Raya Padang Kemunting.

Sementara itu, jumlah mangsa di daerah Marang tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila kekal seramai 13 mangsa daripada empat keluarga yang masih berada di Dewan Sivik Wakaf Tapai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini