Tumpuan :
Nasional

Banjir Terengganu: Penduduk RMM Teluk Kalong pulang, bersihkan kediaman

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Penduduk Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, di sini yang terjejas banjir sejak semalam pulang membersih rumah masing-masing.

Ketika tinjauan dilakukan, rumah penduduk dipenuhi sisa lumpur dan air bertakung.

Ahmad Maulana Mokhtar, 43, ketika ditemui gagal menahan sebak selepas pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melihat barang di dalam rumah rosak.

“Banjir kali ini luar biasa, air naik dengan cepat disebabkan hujan terlalu lebat. Saya dah buat persediaan awal tetapi barang-barang elektrik tak sempat nak diselamatkan,” katanya.

Seorang penduduk dan juga peniaga Ais Krim, Mohd Afikfi Mohd Kalipani, 32, dan isterinya Normawati Abdullah, 29 berputih mata selepas enam peti ais krim digenangi air.

“Sekarang tak tahu peti ni semua dapat berfungsi ke tidak dan ambil masa lama juga untuk jemur dulu.

“Dalam peti ni semua penuh dengan ais krim, nak dibuang sayang dan masih boleh dimakan dan saya akan kongsikan rezeki ini dengan mangsa-mangsa banjir lain”, ujarnya.

Banjir yang melanda RMM Teluk Kalong ini setiap tahun berlaku disebabkan sistem perparitan tidak sistematik.

Longkang dan tali air yang dibuat tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

Sementara itu, Zulhaaq Ismail, 42, berharap pihak berwajib segera menyelesaikan masalah sistem perparitan ini.

“Parit dekat sini sempit, kerajaan perlu segara membaik pulih sistem perparitan, kami sudah penat menanggung kerugian setiap tahun akibat banjir,” katanya.

Sebelum ini, banjir terburuk direkodkan berlaku di RMM Teluk Kalong pada tahun 2020 dan air mencecah segingga hampir tiga meter.

Bagaimanapun, ketika ini banjir menggenangi rumah penduduk kira-kira 0.3 meter.

Kawasan berkenaan mempunyai 500 unit rumah yang didiami kira-kira 2,000 penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini