comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir tidak halang penduduk keluar mengundi

 

KUCHING : Penduduk di pedalaman utara Sarawak tetap menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi walaupun banjir melanda kampung mereka, hari ini.

Sehingga tengah hari tadi, empat pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di utara Sarawak dilapor dilanda banjir.

Bagaimanapun, difahamkan pengundian diteruskan di lokasi terbabit dengan pengundi dibawa menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dua daripada pusat pengundian terbabit terletak di bahagian Limbang manakala dua lagi di bahagian Miri.

Menurutnya, pusat pengundian di Limbang yang terjejas banjir adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak Dan SK Meritam.

“Di Miri pula membabitkan SK Long Bemang di Hulu Baram dan SK Dato’ Sarif, Kampung Narum di Marudi,” katanya.

Menurutnya, pemantauan jam 11 pagi tadi mendapati paras air di Sungai Limbang didapati semakin naik dan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk khususnya yang keluar mengundi.

Sementara itu, penduduk Long Bemang di Hulu Baram tidak melepaskan peluang untuk mengundi meskipun kampung mereka dilanda banjir buat kali kesembilan tahun ini.

Pengundi dibawa menaiki perahu untuk ke pusat mengundi yang terletak di SK Long Bemang.

Loading...
Terkini