comscore
Tumpuan :
Nasional

Bank Muamalat tawar moratorium hingga enam bulan kepada mangsa banjir

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan penawaran bantuan khas banjir termasuk moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan kepada pelanggan yang terjejas dengan bencana itu.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin, berkata pihaknya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited menyediakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.

“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan ‘Service Request Form’ (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pelanggan perlu menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel [email protected].

Beliau berkata, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.

Bank Muamalat juga menawarkan penggantian kad debit dan kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan yang terjejas akibat situasi banjir baru-baru ini.

Pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.

Loading...
Terkini