comscore
Tumpuan :
Nasional

Bank Tentukan Moratorium, Bukan Kerajaan

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebaliknya ia akan ditentukan oleh bank, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak memiliki bank, sebaliknya kerajaan hanya menggalakkan dasar yang membantu rakyat, yang mana banyak inisiatif telah dilaksanakan kerajaan dalam membantu pemulihan PKS dan mikro seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Katanya, bank menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada PKS yang benar-benar memerlukannya, malah bank masih terbuka membantu mereka yang begitu memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan perniagaan mereka.

“Apa yang penting, bank mesti terus menyokong PKS yang berdepan kesulitan. Moratorium pukal (blanket moratorium) tidak sesuai kerana dalam jangka panjang kita perlu menyokong syarikat yang boleh beroperasi.

“Kami (kerajaan) berharap bank terus menyokong PKS yang benar-benar berdepan kesukaran. Penting memastikan PKS berkembang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan khas di Persidangan Perbankan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa kerajaan akan membincangkan cadangan pemberian moratorium kepada PKS dengan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan itu akan membabitkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS terutama mereka yang masih bergelut untuk pulih semasa pasca COVID-19.

Muhyiddin mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS memandangkan sektor itu belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, moratorium diperkenalkan ketika keadaan ekonomi negara berdepan kesukaran.

Namun kini, beliau berkata, ekonomi negara dalam trajektori pemulihan yang kukuh dengan berkembang 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

Katanya, kerajaan juga optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku ketiga tahun ini akan menunjukkan pertumbuhan yang kukuh berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi semasa yang positif setakat ini serta berpotensi melepasi sasaran rasmi antara 5.3 dan 6.3 peratus bagi keseluruhan 2022.

“Inflasi di Malaysia kini berada sekitar 2.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, dasar monetari kita kekal akomodatif walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar OPR kepada 2.50 peratus yang masih lebih ia rendah berbanding tempoh sebelum pandemik (3.0 hingga 3.25 peratus),” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini