comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantuan hadir tepat pada masanya

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan veteran Umno ketika Program Ramah Mesra Bersama Veteran Umno di Kampung Tok Langit sempena Pilihanraya Umum ke-15. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November ini dianggap sebagai rahmat terutamanya kepada golongan B40 termasuk yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Usaha kerajaan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu disambut baik masyarakat khususnya ketika ini cuaca yang tidak menentu menghadapi Monsun Timur Laut.

Mengulas inisiatif Keluarga Malaysia paling dominan itu, seorang warga emas Ahmad Said, 67, berkata, bantuan BKM dapat meringankan beban terutamanya kepada dia yang kini tidak boleh bekerja lagi.

Walaupun masih berkeinginan untuk bekerja tetapi saya tidak mampu lagi bekerja. Kemampuan diri saya semakin terhad selepas saya diserang angin ahmar sewaktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Justeru, sekiranya kerajaan ada memberikan bantuan seperti BKM, ia sangatlah ditunggu-tunggu rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan seperti saya,” katanya ketika ditemui di Lembah Subang, dekat sini.

“Walaupun masih berkeinginan untuk bekerja tetapi saya tidak mampu lagi bekerja. Kemampuan diri saya semakin terhad selepas saya diserang angin ahmar sewaktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Justeru, sekiranya kerajaan ada memberikan bantuan seperti BKM, ia sangatlah ditunggu-tunggu rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan seperti saya,” katanya ketika ditemui di Lembah Subang, dekat sini.

Beliau berkata, bantuan diberikan sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan kepada dirinya dan isterinya yang juga tidak bekerja iaitu Sumuyati Wakidi, 65.

Sementara itu, Noor Suzita Sam, 41, dan sudah kematian suami akibat diabetes juga sependapat apabila menyatakan BKM yang akan dipercepatkan itu adalah satu berita baik untuk didengari

“Apa pun saya berharap prosedur pemberian bantuan BKM itu kelak tidak bermasalah dan semoga berjalan lancar supaya golongan sasar seperti saya dapat menikmatinya.

“Ketika ini saya ada dapat bantuan zakat RM400 serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dengan tambahan bantuan daripada inisiatif BKM akan lebih melegakan,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja pembersihan namun kini tidak lagi bekerja akibat faktor kesihatan.

Bagi Pandak Kulop, 59, pula yang tidak mempunyai pekerjaan tetap menghargai serta mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memahami kesusahan rakyat.

“Kerja saya ini bagaikan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sesiapa sahaja nak bawa saya bekerja saya akan ikut seperti memotong rumput, membersihkan longkang dan buat masa sekarang saya ikut kerja kontrak buat rumah.

Tetapi pada waktu tengkujuh ketika ini, cuaca selalu hujan lebat menyebabkan ada kerja yang dipanggil oleh kenalan untuk saya cari rezeki, dibatalkan,” katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bermula 15 November sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori.

Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Menurutnya, bayaran secara berperingkat yang dijangka selesai 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan menghadapi banjir.

Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

“Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera, di Pahang.

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

Beliau berkata semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my – HARIAN METRO

Loading...
Terkini