comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantuan kewangan jemaah haji: Simpanan pendeposit TH dijamin

Foto hiasan

SEREMBAN: Dana RM350.1 juta diperuntukkan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi menanggung kos kewangan jemaah haji pada tahun ini tidak menjejaskan kepentingan pendeposit, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Katanya, TH mempunyai keupayaan dari segi kewangan melalui sumber sendiri untuk membantu jemaah haji tahun ini, sekali gus pendeposit tidak perlu bimbang kerana agensi itu juga telah mengambil kira keseluruhan risiko dan faktor dalam menyalurkan bantuan kewangan untuk jemaah haji.

“TH ambil kira keseluruhan risiko dan faktor dalam melaksanakan kaedah bantuan kepada jemaah haji supaya tidak menganggu atau menyusahkan pendeposit-pendeposit yang ada. Insya-Allah, walaupun kita peruntuk (bantuan kepada bakal jemaah), kebajikan dan hak pendeposit tidak akan kurang atau diganggu.

“Justeru, pendeposit TH tidak perlu bimbang kerana wang simpanan dijamin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Haji Peringkat Daerah Seremban di Masjid Kariah Taman Paroi Jaya, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan pendeposit TH susulan langkah diambil agensi itu yang mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM350.1 juta dalam Bantuan Kewangan Haji Bersasar kepada bakal haji Muassasah merangkumi kalangan B40 dan M40.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dilaporkan berkata, bantuan itu diteruskan tahun ini dengan kos untuk seorang bakal haji Muassasah meningkat sebanyak lapan peratus, iaitu kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu.

Dengan bantuan itu, bayaran untuk seorang bakal haji Muassasah daripada B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan RM12,356, manakala kumpulan M40 pula sebanyak RM19,152 dan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu RM33,300 seorang.

Seramai 31,600 jemaah layak menunaikan haji pada tahun ini dengan surat tawaran dan bayaran haji 1445H/2024M sudah mula dikeluarkan.

Zulkifli berkata, kenaikan kadar bayaran haji tidak boleh dielakkan kerana pelbagai kekangan dihadapi TH, termasuk kesan inflasi, penurunan kadar ringgit, pandemik COVID-19 dan Cukai Nilai Tambah (VAT) serta lain-lain.

“Bantuan kewangan itu menunjukkan komitmen kerajaan dan TH untuk meringankan beban jemaah. Kerajaan dan TH akan memastikan kenaikan kos tidak menjadi beban kepada bakal jemaah haji tahun ini. TH memperuntukan bantuan lebih 63 peratus, manakala RM1,000 diperuntukkan kerajaan.

“Bagi M40, lebih kurang 42 peratus. Ini menunjukkan kerajaan dan TH telah cuba dengan sepenuh usaha bagi membantu meringankan jemaah haji,” katanya.

Sejak 2001, TH membelanjakan RM2.4 bilion bagi bantuan kewangan haji dan dijangka membiayai kos sebanyak RM350.1 juta lagi bagi musim haji kali ini.

Loading...
Terkini