comscore
Tumpuan :
Nasional

Banyak Lagi Bantuan Akan Dihantar

Banyak lagi bantuan dalam bentuk perkakasan akan dihantar oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, agensi di bawah tanggungjawab beliau akan menghantar bantuan dalam tempoh terdekat.

Malah hari ini, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyumbangkan sebanyak 500 tilam kepada 250 keluarga yang terjejas akibat banjir di Raub, Pahang.

“Dengan keadaan rumah yang ditenggelami air, sudah pasti banyak kerugian yang ditanggung. Memang letih mencuci rumah. Tak tergambar tekanan yang ditanggung. Tapi, tidur dan rehat perlu cukup serta selesa.”

“Insya-Allah banyak lagi bantuan dalam bentuk perkakasan akan dihantar dalam tempoh terdekat oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya,” katanya menerusi satu status dimuatnaik di Facebook.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Zulkifli merasmikan gimik pelepasan tiga treler yang membawa muatan tilam menerusi inisiatif diambil YaPEIM melalui Program Inspirasi Qaseh Kami – ‘Misi Bantuan Program Musaadah 2021’ ke Negeri Pahang.

Ketiga-tiga treler yang bertolak dari Kompleks Islam Putrajaya dijangka tiba ke Raub hari ini dan dua tilam akan terus diagihkan kepada setiap keluarga.

Sebelum ini, Program Inspirasi Qaseh Kami telah mengagihkan bantuan di setiap negeri yang terjejas akibat banjir di bawah Inspirasi Qaseh Kami – Program Foodbank YaPEIM, makanan asas dan daging segar sama ada untuk dimasak di pusat perpindahan sementara atau diberikan terus kepada mangsa.

Loading...
Terkini