comscore
Tumpuan :
Nasional

Banyak permohonan ditolak, Saifuddin ingatkan kriteria muat naik gambar pasport

 

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jangan pakai banyak aksesori atau kanta lekap ketika memuat naik gambar untuk permohonan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara dalam talian.

Itu peringatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana kebanyakan permohonan ditolak dan tidak diproses segera Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disebabkan tidak menepati kriteria tertentu.

Tegasnya, spesifikasi gambar itu bukan ditetapkan jabatan berkenaan sebaliknya piawaian antarabangsa.

“Kalau pemohon wanita, tolong jangan pakai banyak aksesori. Jangan pakai ‘contact lens’ (kanta lekap) kerana mengenali identiti secara kecerdasan buatan (AI), ia boleh kesan (tulen), jadi kita tak mahu pemegang pasport ada halangan nanti bila dia melancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury Putrajaya, di sini hari ini.

Jelasnya, pemohon yang memakai tudung juga disarankan supaya tidak memuat naik gambar memakai tudung terlalu labuh dan menutup dahi.

Selain itu, permohonan akan ditolak sekiranya pemohon memakai baju berwarna cerah dan memuat naik gambar berserta lencana pangkat.

“Kalau ambil gambar pasport, menghadap tepat pada kamera, jangan pandang sisi, pandang lantai atau pandang langit. Kadang-kadang maklumat asas ini kita terlepas pandang akibatnya sistem akan tolak kerana ini piawaian antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Saifuddin, antara punca lain permohonan tidak diluluskan adalah masalah cap jari.

“Kalau berlaku kejadian begitu, pemohon akan datang ke sini (pejabat JIM), betulkan, dia akan ambil gambar semula dan masukkan cap jari. Hari sama dia boleh kutip pasport,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN
Loading...
Terkini