comscore
Tumpuan :
Nasional

BAP RM150: Guru bertanggungjawab diingatkan ikut SOP pengeluaran wang

SERI ISKANDAR: Pengetua dan guru sekolah yang dipertanggungjawabkan dalam urusan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diingatkan supaya mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank yang selamat dan mengikut peraturan terkini, supaya insiden kecuaian atau kecurian tidak berulang lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata semua pengetua dan guru besar di negeri itu sudah diberikan taklimat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berdasarkan garis panduan BAP termasuk tatakelola dan tanggungjawab perlu dilaksanakan pentadbir sekolah terbabit dalam prosedur pengagihan bantuan wang berkenaan.

“Dalam pekeliling itu telah dinyatakan bahawa jika pengeluaran wang terbabit kurang daripada RM10,000, pengetua atau guru besar mesti diiringi oleh dua orang guru pengiring, manakala pengeluaran berjumlah RM10,000 ke atas, pengetua atau guru besar mesti diiringi oleh polis pengiring, mereka kena patuh pada prosedur itu.

“Jika prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran bantuan ini difahami, apabila pengetua atau guru besar sudah mengeluarkan wang itu dari bank, mereka sepatutnya tak singgah untuk minum atau bersantai dulu.

“Mereka mesti terus balik ke sekolah untuk urusan pengagihan bantuan itu bagi mengelakkan daripada diekori dan kejadian tak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyerahan set alat tulis kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Pada 16 Januari tahun lalu, wang BAP berjumlah lebih RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang dilarikan selepas cermin kenderaan guru besar sekolah berkenaan dipecahkan ketika dia singgah membeli minuman.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dipetik berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan untuk tujuan pengeluaran wang yang hilang itu, malah guru besar terbabit memberi alasan sudah biasa mengambil wang BAP tanpa pengiring pihak polis sejak 10 tahun lalu.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM788,130,000 khusus untuk tujuan BAP bagi manfaat seramai 5,254,200 orang murid seluruh negara.

Setiap murid dibayar RM150 secara one-off (sekali bayar) bermula Januari ini menerusi sekolah secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.

Loading...
Terkini