comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa & 6 anak OKU diselamatkan APM

DUNGUN: Bapa bersama enam anak yang kesemuanya berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) diselamatkan selepas rumah mereka di Kampung Keliyu Serdang, dekat sini, terjejas akibat banjir.

Warga emas Kamaludin Ahmad, 74, yang merupakan bapa tunggal menghubungi pasukan penyelamat selepas mendapati persekitaran rumahnya itu mula ditengelami banjir.

Dia tinggal bersama enam anaknya, Fairus Kamaludin, 46; Muhammad Zulkifli Kamaludin, 43; Hazura Kamaludin, 40; Hatikah Kamaludin, 38; Mohd Shahrul Kamaludin, 32; dan Mohd Azieem Asyraf Kamaludin, 29, yang kesemuanya OKU pendengaran dan saraf.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Dungun, Kapten (PA), Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.30 pagi.

Menurutnya, lima anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi untuk memindahkan mangsa.

“Air mula memasuki kawasan kediaman mangsa dengan cepat dan keadaan itu mendatangkan kebimbangan keluarga terbabit.

“Sebaik tiba di tempat kejadian setengah jam selepas itu, pihak kami dapati laluan masuk ke rumah mangsa ditenggelami air dan laluan ditutup kepada semua kenderaan ringan.

“Kami terpaksa menggunakan lori dan mengharungi banjir sejauh kira-kira tiga kilometer sebelum tiba di rumah mangsa,” katanya.

Katanya, salah seorang anak mangsa yang hanya mampu terbaring di atas katil terpaksa diusung.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 11 pagi dan dihantar ke rumah keluarga mereka tidak jauh dari situ,” katanya.

Loading...
Terkini